Sakit kepala ini bukan hal kecil kan Mama. Disebabkan sakit kepala, hampir semua kerja tak boleh buat. Mana tak nya, kalau kepala berdenyut-denyut memang susahlah nak berfikir dengan baik.

Mama tak perlu gusar lagi sebab kali ini, Mama Siti akan kongsikan 11 cara hilangkan sakit kepala melalui minuman, aktiviti dan pencahayaan.

Namun begitu, tips dan petua ni hanya untuk Mama yang jarang-jarang mengalami sakit kepala. Jika sakit kepala Mama berterusan hingga lima hari berturut-turut, segera dapatkan pemeriksaan doktor.

Sakit kepala yang berpanjangan mungkin petanda Mama menghidapi penyakit lain. Istilah saintifiknya ialah sakit kepala sekunder iaitu sakit kepala disebabkan oleh penyakit-penyakit yang lain.

Contohnya, ketumbuhan atau pendarahan otak, sakit tulang belakang, sinus dan jangkitan kuman.

Mari kita ketahui lebih terperinci cara hilangkan sakit kepala ringan yang mujarab ini.

Cara Legakan & Hilangkan Sakit Kepala
#1 Makan Ubat
Bagi melegakan denyut di bahagian kepala, Paracetamol boleh diambil sebagai ubat tahan sakit. Menurut portal MyHEALTH, ianya selamat dimakan ketika sakit kepala asalkan kita mematuhi dos yang disyorkan.

Namun jika sakit kepala Mama masih berlanjutan hingga hari kelima, segera lakukan pemeriksaan di klinik berdekatan. Sakit dibahagian kepala mungkin adalah simptom penyakit lain seperti darah tinggi atau pendarahan otak.

#2 Daun Pudina, Essential Oil, Minyak Aromaterapi
Persamaan ketiga-tiga produk di atas ialah baunya yang menenangkan. Apabila seseorang menghidu sensasi bauan tadi, ia memberi isyarat kepada untuk meningkatkan mood. Sekaligus, sakit kepala akan sedikit demi sedikit berkurangan.

Bagi penggunaan daun pudina, Mama boleh ramaskan daun dan letakkan di tempat berhampiran. Selain itu, Mama juga boleh mencampurkan daun pudina ke dalam air teh. Cara ini juga membantu melegakan sakit kepala.

#3 Bersenam (Yoga & Brisk Walk)
> “Mama Siti, saya ni sakit kepala, biar betul Mama Siti nak saya bersenam? “

Ya, Mama Siti sedar, bersenam memerlukan kita bergerak. Ditambah dengan keadaan sakit kepala, mungkin langkah senaman kita menjadi caca marba.

Ada senaman ringan yang Mama boleh amalkan untuk meredakan sakit kepala. Pertama, yoga. Kedua, brisk walking. Bila badan bergerak, ia akan melancarkan peredaran darah.

Ketika bersenam, kita akan melakukan pernafasan. Lebih banyak oksigen diambil, lebih banyak darah diangkut dalam badan.

#4 Kafein (Diminum & Dihidu)
Mama Siti nak pesan awal-awal kepada Mama semua. Tips nombor empat ini hanya sesuai diamalkan kepada individu yang tiada masalah apabila minum kafein seperti teh atau kopi.

Jika Mama rasa berdebar-debar selepas minum kopi, ini bermakna Mama tidak sesuai meredakan sakit kepala menggunakan kafein.

#5 Tidur Yang Cukup
Sesuatu akan lebih baik apabila ia bertenang. Sama juga dengan manusia. Cara bertenang terbaik ialah melalui tidur.

Ketika kita tidur, otak berada dalam fasa rileks. Sistem pembaikan DNA dalam badan berfungsi dengan lebih baik semasa tidur.

Ia membaiki kerosakan yang disebabkan oleh cahaya UV, sinaran, peningkatan tekanan fizikal dan biokimia, dan juga kesilapan mudah yang dilakukan oleh badan kita.

Nak lebih afdhal, jangan lupa untuk membaca doa sebelum tidur dahulu ya Mama.

#6 Tuaman
Dr. Ikram Rauhi menerusi saluran Youtube beliau berkongsi kesan tuaman panas dan tuaman sejuk. Ternyata kedua-duanya memberikan kesan yang berbeza.

Tuaman panas: merilekskan otot di sekeliling kepala. Kesannya, teknik ini melegakan sakit kepala.

Tuaman sejuk: memberikan rasa kebas dan menghilangkan sakit kepala.

#7 Teh Halia
Selain popular sebagai kaedah melegakan sakit senggugut, air teh halia ini juga bermanfaat dalam rawatan sakit kepala.

Caranya, tambahkan halia dalam minuman teh. Halia berfungsi sama seperti apabila kita makan ubat migrain. Memandangkan teh halia diminum sebagai makanan tambahan, oleh itu Mama perlu memastikan ia diminum selepas makan sahaja ya.

#8 Keadaan Malap (Blackout curtain & Cermin mata)
Orang yang sakit kepala sangat sensitif terhadap cahaya. Mahu itu cahaya semula jadi atau cahaya buatan, kedua-duanya mengakibatkan kepala menjadi semakin sakit.

Oleh itu, kaedah seterusnya adalah dengan mengurangkan atau menghalang lampu di dalam bilik atau ruangan anda. Contohnya dengan menggunakan langsir telap cahaya.

Namun jika keadaan memaksa Mama berada diluar, pakai penutup kepala dan cermin mata hitam.

#9 Air Asam Keping
Ini petua orang lama, cara melegakan sakit kepala hanya perlukan air suam dan asam keping. Asam keping ya, bukan asam jawa.

Sediakan segelas air suam, rendamkan sekeping asam keping selama 30 minit sebelum diminum. Sama seperti kaedah minuman halia tadi, pastikan Mama isi perut dulu ya.

#10 Cara Hilangkan Sakit Kepala Dengan Asam Jawa
Tips ke sepuluh ini jangan tersilap pula dengan tips nombor sembilan ya.

Cara-cara: Letakkan asam jawa di atas kain kemudian balutkan kepala dengan asam jawa terletak di bahagian dahi. Biarkan semalam, dengan izin tuhan sakit kepala Mama akan berkurangan.

#11 Rendaman Kaki
Air panas membantu peredaran darah dalam badan. Kaedah merendamkan kaki ke dalam air panas mengalirkan darah dari bahagian kepala ke arah kaki.

Setelah beberapa kitaran berlaku, sakit kepala akan berkurangan. Tempoh masa yang diperlukan untuk rawatan rendaman air panas ialah 30 minit.

Sakit kepala yang tidak kronik biasanya boleh dirawat sendiri dengan kaedah minuman teh halia, bersenam, tidur yang mencukupi serta pencahayaan malap.

Tips dan petua yang dikongsikan sesuai buat Mama yang mengalami sakit kepala ringan. Apa yang Mama perlu risaukan ialah apabila sakit itu berlanjutan melebihi lima hari, ia berkemungkinan petanda kepada penyakit lain.

Teknik meredakan sakit kepala pilihan Mama ialah tidur dan pencahayaan malap. Tidak dinafikan apabila Mama Siti menikmati tidur yang berkualiti, hasil kerja bertambah baik.

Dapatkan tips dan panduan kesihatan Mama dan Papa yang lainDI SINI.