Walau bagaimanapun, doktor boleh mengecualikan masalah berkaitan dengan tisu otak dan tengkorak memandangkan ia tidak mempunyai saraf yang boleh menyebabkan kesakitan.

Ini bermakna, struktur badan yang sering menjadi punca kepada masalah sakit kepala adalah saraf, salur darah atau otot di kepala dan leher.

Punca bagi sakit kepala sekunder pula bergantung kepada jenis penyakit yang dialami oleh penghidap.

Oleh sebab itulah usaha untuk mengenal pasti punca sakit kepala tidaklah semudah seperti yang disangka.

Jenis sakit kepala yang bagaimana perlu diberi perhatian?
Bagi kebanyakan individu, sakit kepala bukanlah satu simptom yang serius. Ia kebiasaannya hilang dengan sendirinya.

Walau bagaimanapun, segelintir individu boleh mengalami masalah sakit kepala yang memerlukan perhatian dan rawatan dengan kadar segera.

Berikut merupakan jenis sakit kepala yang boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan serius:

1. Sakit kepala kronik yang berlaku selepas usia 50 tahun.
2. Sakit kepala yang menjadi teruk apabila anda bergerak atau batuk.
3. Anda terbangun daripada tidur akibat sakit kepala.
4. Sakit kepala yang boleh merencatkan keupayaan anda untuk menjalankan aktiviti harian.
5. Anda mengalami simptom sakit kepala selepas terhantuk.
6. Sakit kepala yang semakin teruk, hari demi hari.
7. Sakit kepala teruk yang tidak pernah dialami sebelum ini.
8. Perubahan pada personaliti atau mood akibat sakit kepala.
9. Sakit kepala yang disertakan dengan simptom seperti demam, ketegangan leher, lemah badan, kelesuan, kebas-kebas dan kesukaran untuk bercakap.
10. Sakit kepala pada bahagian tempel (kawasan sisi kepala atas).
11. Mengalami masalah mata merah yang disertakan dengan pening kepala.

Jika anda mengalami masalah sakit kepala seperti yang dinyatakan di atas, lebih baik untuk anda berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Perubahan gaya hidup dan rawatan di rumah

Meskipun punca sakit kepala sukar untuk dikenal pasti, terdapat perubahan gaya hidup dan rawatan di rumah yang boleh mengurangkan intensiti kesakitan dan risiko untuk anda mengalami masalah sakit kepala.

Cara atasi masalah sakit kepala
Berikut merupakan cara menghilangkan sakit kepala yang boleh dilakukan:

1. Ambil masa untuk berehat. Jika anda bekerja tanpa henti, ia boleh menyebabkan masalah sakit kepala.
2. Pastikan anda tidur sekurang-kurangnya 8 jam setiap malam.
3. Jika anda sering berasa stres, ambil masa untuk berehat. Stres boleh menyebabkan badan anda berasa terbeban dan ia boleh meningkatkan risiko untuk mengalami masalah sakit kepala.
4. Ambil makanan berzat yang kaya dengan vitamin dan mineral. Amalan pemakanan seimbang adalah rahsia kepada kesihatan tubuh badan. Ia boleh menghindarkan pelbagai jenis penyakit kronik yang boleh menjurus kepada masalah sakit kepala seperti tekanan darah tinggi.
5. Pastikan anda bersenam dengan kerap. Jika ada masa, lakukan sesi senaman 30 minit sehari. Lakukan secara bersederhana dan kalau anda mengalami sakit kepala semasa bersenam, dapatkan nasihat pakar.
6. Rujuk kepada doktor sekiranya anda mengalami simptom teruk.
7. Jika anda bekerja di persekitaran berbahaya, pakai alat perlindungan peribadi seperti helmet dan sebagainya. Perkara yang sama perlu diamalkan oleh mereka yang bergiat dalam aktiviti sukan lasak.
8. Pengambilan minuman teh boleh menjadi cara menghilangkan sakit kepala.

Kesimpulan
Setiap individu pasti pernah mengalami sakit kepala, namun bagi yang tidak tahu puncanya akan rasa masalah ini membebankan mereka.

Jadi, amat penting untuk anda mengenal pasti dan tidak terlepas sebarang simptom pelik jika mengalami sakit kepala, khususnya sakit yang teruk.

Sebaik-baiknya, dapatkan konsultasi doktor dan jangan abaikan sebarang simptom sakit kepala anda.