Ini adalah panduan lengkap cara melakukan Solat Sunat Gerhana Matahari dan Bulan.

Dalam panduan ini, anda akan dibimbing secara langkah-demi-langkah sehingga selesai.

Apa yang menarik:

Panduan solat sunat ini dipermudahkan dengan ejaan rumi untuk membantu sesiapa yang mengalami kesukaran membaca tulisan arab.

Jika anda memerlukan panduan ini, jom kita mulakan.

Maksud Solat Sunat Gerhana
Solat Sunat Gerhana juga turut dikenali sebagai Solat Kusuf ataupun Khusuf.

Ia adalah solat sunat dua rakaat berserta khutbah. Ketika berlaku gerhana matahari ataupun bulan, sunat bagi orang Islam mendirikan solat sunat gerhana.

Pengertian Gerhana Matahari (Kusuf)
Kusuf ( كسوف ) bermaksud hilang, berkurangan cahaya matahari, terlindung sebahagian, atau keseluruhan cahayanya.

Kadangkala gerhana matahari juga disebut sebagai Khusuf ( خسوف ). Namun perkataan ini lebih khusus pada gerhana bulan.

Pengertian Gerhana Bulan (Khusuf)
Khusuf ( خسوف ) bermaksud hilang ataupun berkurangan cahaya bulan, terlindung sebahagian ataupun keseluruhan cahayanya. Walaupun kedua-dua perkataan ini digunakan bagi menggambarkan gerhana matahari dan bulan, namun perkataan khusuf digunakan bagi gerhana bulan.

Pensyariatan Solat Sunat Gerhana
Solat sunat gerhana matahari disyariatkan pada tahun kedua hijrah dan solat gerhana bulan disyariatkan pada tahun kelima hijrah.

Solat gerhana disyariatkan berdasarkan beberapa ayat Allah dan hadis rasulNya.

1. Allah menyatakan dalam Surah Fussilat, ayat 37:> Dan antara tanda-tanda kekuasaan Allah adalah (Dia mencipta) malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah pula kamu sujud kepada matahari dan janganlah kamu sujud kepada bulan. Sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya kamu benar-benar menyembah Allah.

2. Menurut hadis, ketika berlaku gerhana matahari pada hari kematian puteranya Ibrahim, Rasulullah SAW bersabda:> Matahari dan bulan hanyalah dua daripada tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak gerhana kerana matinya seseorang atau kerana hidupnya. Apabila kamu menyaksikannya hendaklah kamu bersolat dan berdoa sehingga ia terang kembali.

— Hadis direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim
Waktu Solat Sunat Gerhana
Waktu Solat Gerhana Matahari
Bagi solat Gerhana Matahari waktunya bermula apabila ternyata berlaku gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana itu, dan sehingga jatuh matahari dan gerhana tersebut.

Sekiranya gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam matahari, maka tidak ada solat gerhana.

Waktu Solat Gerhana Bulan
Bagi Solat Gerhana Bulan waktunya bermula apabila ternyata berlakunya gerhana bulan dan berakhir dengan hilang gerhana dan naik matahari.

Tidak dikira dengan naik fajar atau jatuhnya pada malam dengan gerhananya.

Sekiranya berlaku gerhana bulan ketika terbenamnya, dan sebelum terbit fajar maka dibolehkan solat.

Tetapi jika terbenamnya bulan sesudah terbit fajar, maka terdapat dua pendapat iaitu:

1. Qaul Qadim: Tidak ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan telah hilang bila terbit fajar (subuh).
2. Qaul Jadid : Ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan masih ada sehinggalah terbit matahari (syuruk).

Jumlah Rakaat
Solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa.

Ia adalah yang sekurang-kurangnya.

Yang akmalnya dilakukan dengan dua kali ruku’ dan 2 kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

Niat Solat Sunat Gerhana Bulan
Usolli Sunnatal Khusuu-fi Rak’ataini Lillahi Taala

> Sahaja aku solat sunat Gerhana Bulan dua rakaat kerana Allah Taala.

Niat Solat Sunat Gerhana Matahari

Usolli Sunnatal Kusuu-fi Rak’ataini Imaman / Makmuman Lillahi Taala

> Sahaja aku solat sunat Gerhana Matahari dua rakaat (sebagai imam/makmum) kerana Allah Taala.

Cara solat sunat gerhana dari mempunyai sedikit perbezaan dari solat sunat yang lain.

Solat ini mempunyai 2 kali rukuk pada setiap rakaat. Bacaan tasbih pada setiap rukuk dan sujud diperbanyakkan sehingga 100 kali.

Cara mengerjakan Solat Sunat Gerhana adalah seperti berikut:

Rakaat Pertama
1. Solat Dimulakan dengan takbiratul ihram.

Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat dalam hati.

Niat Solat Gerhana Matahari

> Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Ta’ala

Niat Solat Gerhana Bulan

> Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Ta’ala

Sunat sekiranya mampu melafazkan niat dalam bahasa arab. Tetapi tiada masalah untuk melafazkan niat dalam sebarang bahasa yang difahami seperti bahasa melayu.

2. Kemudian, tangan diletakkan di antara pusat dan dada. Selepas itu bacalah doa Iftitah.

Hukum membaca Iftitah adalah sunat hai’ah. Solat tetap sah jika doa ini ditinggalkan.

Doa Iftitah> Allaahu Akbaru Kabiiraa-walhamdu Lillaahi Katsiiran, Wa Subhaanallaahi Bukrataw-wa’ashiila.

Wajjahtu Wajhiya Lilladzii Fatharas-samaawaati Wal Ardha Haniifam-muslimaw-wamaa Anaa Minal Musyrikiina.

Inna Solaatii Wa Nusukii Wa Mahyaaya Wa Mamaatii Lillaahi Rabbil ‘Aalamiina.

Laa Syariikalahu Wa Bidzaalika Umirtu Wa Ana Minal Muslimiin

3. Seterusnya bacalah surah al-Fatihah.

Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam solat.

> Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

4. Kemudian, baca Surah al-A’la

Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula ayat daripada surah al-Quran seperti surah al-A’la (atau surah yang lain).

Pemilihan surah adalah bebas. Anda juga baca surah-surah yang lain.

5. Selesai membaca surah, teruskan dengan rukuk pertama pada rakaat pertama.

Bacaan tasbih dalam rakaat ini dibaca sebanyak 100 kali.

Subhana Rabbiyal ‘AziiMi Wa Bihamdih

6. Selepas selesai rukuk pertama, maka lakukan Qiyam (berdiri sekali lagi) kali kedua pada Rakaat Pertama

Selepas itu, bacalah Surah al-Fatihah

Tangan kanan menggenggam pergelangan tangan kiri. Tangan diletakkan di antara pusat dan dada> Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

Kemudian bacalah Surah Al-Ghasyiah

7. Selesai membaca surah al-Ghasyiah, teruskan dengan rukuk kedua pada rakaat pertama.

Seperti rukuk pertama, pada rukuk kedua juga dibacakan tasbih sebanyak 100 kali.

Subhana Rabbiyal ‘AziiMi Wa Bihamdih

8. Selepas selesai membaca tasbih rukuk 100 kali, maka bangunlah iktidal

9. Selepas itu, turunlah sujud dan membaca tasbih sujud sebanyak 100 kali juga.

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih

10. Selepas itu, duduk antara dua sujud (sunat dipanjangkan tempohnya)

11. Sujud kedua pada rakaat pertama dan membaca tasbih (90 kali)

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih

Selesai tasbih sujud 90 kali, maka bangunlah berdiri untuk rakaat kedua.

Rakaat Kedua
12. Rakaat kedua dimulai dengan lafaz takbir intiqalat

(takbir intiqalah bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).

13. Baca surah al-Fatihah.Seperti rakaat pertama, pada rakaat kedua juga dibacakan surah al-Fatihah.

surah al fatihah> Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

14. Membaca Surah asy-SyamsPada rakaat kedua, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti surah Asy-Syams:

> Qul huwallahu ahad. Allahus-samad. Lam yalid wa lam yuulad. Wa lam yakul lahuu kufuwan ahad

Maksudnya:

Katalah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

Pemilihan surah adalah bebas. Anda juga baca surah-surah yang lain.

15. Lakukan rukuk ketiga pada rakaat kedua.

Untuk rukuk ketiga ini, bacalah tasbih rukuk sebanyak 70 kali.

Subhana Rabbiyal ‘AziiMi Wa Bihamdih

16. Bangun qiyam kali kedua pada rakaat kedua

Selepas itu bacalah sekali lagi surah al-Fatihah

Kemudian, bacalah surah Az-Zalzalah

17. Selesai membaca surah Az-Zalzalah, lakukan rukuk keempat pada rakaat kedua.

Dalam rukuk ini, bacalah tasbih sebanyak 70 kali.

Subhana Rabbiyal ‘AziiMi Wa Bihamdih

18. Selepas selesai membaca tasbih rukuk 70 kali, maka bangunlah iktidal

19. Selepas itu, turunlah sujud ketiga pada rakaat kedua.

Dalam rukuk ketiga ini, bacaan tasbih sujud adalah sebanyak 70 kali juga.

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih

20. Selesai sujud ketiga, maka bangun duduk antara dua sujud

(Disunatkan untuk memanjangkan tempohnya)

21. Selepas itu, turunlah sujud sekali lagi iaitu sujud keempat pada rakaat kedua.

Pada sujud ini, disunatkan untuk membaca tasbih sebanyak 50 kali.

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih

22. Solat diteruskan dengan tahiyyat akhir

23. Solat diakhiri dengan memberi salam.

Salam pertama diucapkan sambil berpaling ke kanan dan salam kedua sambil berpaling ke kiri.

24. Selepas selesai solat sunat gerhana, maka bacalah khutbah gerhana jika solat berjemaah.

1. Menurut pendapat ulama Mazhab Hanafi, solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat sebagaimana solat dua rakaat yang lain tanpa mengulangi qiyam dan rukuk pada setiap rakaat.
2. Melakukan solat dua rakaat dengan dua qiyam, dua bacaan al-Fatihah dan surah, serta dua kali rukuk. Semua rukun ini tidak dipanjangkan, tetapi dilakukan dalam jangka masa yang pendek sama seperti solat biasa.
3. Cara yang sempurna dan mengikut sunnah Rasulullah SAW adalah cara yang sepakati oleh majoriti ulama. Mereka berpendapat solat gerhana yang sempurna adalah dua rakaat. Dalam setiap rakaat perlu ada dua qiyam, dua bacaan surah, dua rukuk, dan dua sujud. Sebaik-baik bacaan selepas al-Fatihah pada qiyam pertama surah al-Baqarah ataupun surah-surah yang sama panjangnya.
4. Kemudian pada qiyam kedua rakaat pertama, membaca sebarang surah yang jumlah ayatnya kira-kira 200 ayat seperti surah Ali Imran. Selepas al-Fatihah rakaat kedua pada qiyam pertama membaca surah ataupun beberapa surah yang ayatnya kira-kira 150 ayat, seperti Surah an-Nisa’. Pada qiyam yang kedua selepas al-Fatihah, baca surah yang mempunyai 100 ayat seperti Surah al-Maidah. Ibnu Abbas menceritakan peristiwa gerhana pada zaman Rasulullah SAW beliau berkata:

> Pernah terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW lalu baginda solat dan berdiri selama bacaan surah al-Baqarah. Kemudian baginda rukuk dengan lama. Kemudian baginda berdiri kembali dengan lama, tetetapi tidak selama berdiri yang pertama. Kemudia baginda rukuk dengan lama, tetapi tidak selama rukuk yang pertama. Kemudian baginda sujud, kemudian berdiri dengan lama, tetapi tidak selama berdiri yang pertama. Seterusnya baginda rukuk dengan lama, tetapi tidak selama rukuk yang pertama. Kemudian, baginda bangun berdiri dengan lama, tetapi tidak selama yang awal. Kemudian, baginda rukuk dengan lama, tetapi tidak seperti rukuk yang awal. Selepas itu, baginda sujud dan beredar. Pada ketika itu, matahari sudah kembali terang, iaitu selesai gerhana.

(Hadis direkodkan oleh al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari pada bab solat gerhana berjemaah)
Bacaan Tasbih Dalam Solat
Bacaan tasbih yang dibaca di dalam solat sunat ini adalah:

Subhanallah Walhamdulillah Wala ilaaHa illallahu Wallahu Akbar Walaa Haulawala Quwwata illa Billahil ‘Aliyyil ‘Adzim

Maksudnya:

> Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Khutbah Solat Gerhana Matahari
Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun gerhana sudah hilang.

Khutbahnya seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir.

Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.

Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah.

Dari Aisyah r.a. berkata:

> Selanjutnya baginda mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada solat gerhana”

(Riwayat Bukhari )

Hukum Solat Gerhana
Ulamak berbeza pendapat dalam menetapkan hukum solat gerhana

Sebahagian menghukumnya sebagai sunat muakkad dan sebahagian yang lain mewajibkannya

Pendapat pertama
Hukum solat Gerhana adalah sunat muakkad dan tidak diwajibkan ke atas orang yang Musafir atau Mukim.

Kerana rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengerjakan solat gerhana matahari sebagaimana yang dilaporkan oleh al-bukhari dan muslim, dan solat gerhana bulan, seperti riwayat Ibnu hibban.

Ia disunatkan ke atas lelaki dan perempuan yang diwajibkan solat fardhu lima waktu.

Ulamak yang berpegang kepada pendapat ini berhujah dengan firman Allah dalam Surah Fussilat ayat 37, dan sabda Rasulullah tentang Gerhana yang berlaku selepas kematian puteranya, Ibrahim.

Pendapat ini dipegang oleh Imam al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar, Ibnu Qudamah dan al-Syafi’i.

Bagaimanapun, mak Maliki dan Hanafi berpendapat solat gerhana bulan adalah sunat yang tidak muakkad, dan hanya solat gerhana matahari yang muakkad.

Pendapat Kedua
Sebahagian ulamak mewajibkan solat gerhana matahari dan bulan kerana Rasulullah melakukannya dan mengarahkan agar dikerjakan solat apabila berlaku gerhana.

Antara mereka yang berpegang dengan pendapat ini ialah Abu ‘Uwanah dalam sahihnya, al-‘Alamah al-Sa’di, Ibn ‘Uthaimin dan Ibnu Qayyim.

Masalah Berkaitan Solat Gerhana
Berikut adalah beberapa situasi yang mungkin berlaku semasa mengerjakan Solat Gerhana:

Gerhana Selesai Ketika Solat
Sekiranya Gerhana selesai ketika seorang itu masih mengerjakan solat gerhana, dia perlu meneruskan solatnya hingga selesai, tetapi disunatkan meringkaskannya.

Gerhana Selesai Selepas Solat
Seandainya solat Gerhana telah selesai dikerjakan tetapi Gerhana belum tamat, tidak disunatkan mengulangi solat gerhana. Dan membanyakkan berzikir, beristighfar dan berdoa.

Apabila Gerhana selesai, tidak disyariatkan lagi melakukan solat gerhana, dan tidak juga perlu diqadha.

Matahari atau Bulan hilang
Sekiranya ketika melakukan solat gerhana, tiba-tiba matahari atau bulan yang sedang Gerhana itu hilang daripada pandangan kerana ditutupi awan atau sebagainya, solat hendaklah diteruskan.

Ini kerana, pada asalnya Gerhana tersebut benar-benar berlaku, cuma ia tidak dapat dilihat.

Hilang Pada Waktu yang Sepatutnya
Sekiranya matahari tenggelam ketika berlaku gerhana, tidak disunatkan solat gerhana.

Begitu juga apabila bulan menghilang kerana sampai waktu pagi, sedangkan Gerhana sedang berlaku, tidak perlu solat.

Solat gerhana matahari tidak harus dilakukan dalam dua keadaan:

1. Matahari kembali terang dan tidak lagi dilindungi bulan, iaitu apabila Gerhana berakhir.
2. Sekiranya matahari yang sedang Gerhana tenggelam kerana masuk waktu malam, atau gerhana matahari ini berlaku ketika malam.

Solat gerhana bulan juga tidak harus dilakukan dalam dua keadaan:

1. Bulan terang kembali kerana cahaya matahari tidak lagi dihalang oleh bumi
2. Apabila terbit matahari hingga bulan tidak lagi kelihatan Walaupun gerhana bulan berlaku ketika itu. Tetapi jika matahari terbit tetapi bulan yang sedang Gerhana masih kelihatan, solat masih sunat dilakukan.

Penutup
Fenomena Gerhana bukanlah berlaku kerana kemurkaan Allah swt, tetapi merupakan petanda kepada kebesaran kekuasaan Allah swt.

Ia juga berupaya menjadi peringatan kepada manusia tentang azab dan nikmat yang dijanjikan Allah swt pada hambanya kerana fenomena gerhana ini sangat besar ertinya samada dari penghayatan iman dan sains.

Ia bukan fenomena baru yang hanya berlaku pada akhir zaman ini tapi telah berlaku sejak alam ini dijadikan dan juga pada zaman Nabi saw yang dikenali sebagai sebaik-baik kurun.

Semoga artikel dapat membantu anda.