Masalah mulut berbau atau secara terma medikalnya turut dikenali sebagai halitosis boleh menyebabkan seseorang berasa malu dan lebih teruk lagi sehingga mengganggu aspek psikologinya. Cara hilangkan bau mulut, cara hilangkan bau badan, antara rungutan pesakit semasa mereka mengunjungi klinik. Oleh sebab itu, usahawan-usahawan tidak melepaskan peluang keemasan ini dengan menghasilkan pelbagai produk kumur dan penjagaan mulut untuk menghilangkan masalah ini. Namun, tahukah anda kebanyakannya hanya berfungsi dan bersifat sementara sahaja? Ia tidak menyelesaikan punca masalah mulut berbau ini.

Siapakah sebenarnya yang alami gejala ini? Kebanyakan individu tidak menyedari tentang masalah mulut berbau yang mereka alami. Ahli keluarga atau orang sekeliling yang menegur mereka tentang gejala ini. Amat jarang sekali, terdapat segelintir individu yang terlalu sensitif tentang bau mulut mereka sehingga mereka merasakan mereka turut alami gejala ini walaupun mulut mereka tidak begitu berbau.

Terdapat segelintir makanan, masalah kesihatan dan gaya hidup yang boleh menyebabkan masalah berbau ini. Antaranya ialah:

Bawang putih, rempah ratus dan bawang secara amnya mempunyai bau yang kuat sehingga boleh meninggalkan kesan pada mulut anda. Setelah anda memakannya, ia akan dihadam dalam sistem pencernaan anda, masuk ke salur darah anda serta dihantar ke paru-paru anda dan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan. Jika makanan ini ialah makanan kegemaran anda, mungkin anda boleh kurangkan kuantitinya serta kurangkan memakannya secara mentah bagi mengelakkan risiko mulut berbau.

Jika anda seorang perokok, anda pasti sudahpun mengetahui tentang risiko gejala ini untuk berlaku. Produk yang mengandungi tobako sememangnya akan meninggalkan bau kuat yang kurang menyenangkan kepada mulut atau pakaian yang anda pakai. Selain itu, perokok juga berisiko tinggi untuk mengalami masalah keradangan gusi akibat bahan toksik pada rokok. Sebarang masalah kesihatan yang menjejaskan gusi mempunyai risiko mulut berbau.

* Tidak Menjaga Kebersihan Mulut

Pasti ada sebabnya jika anda dididik untuk menggosok gigi selepas makan, sebelum tidur, sewaktu mandi. Hal ini bagi memastikan gigi dalam keadaan bersih dan tiada sisa makanan yang tersangkut di celahan gigi. Jika hal ini berlaku, amalkan mengflos gigi bagi mengelakkan ia tersangkut dan reput sehingga menggalakkan pertumbuhan kuman. Kuman itulah yang menjadi punca kepada gejala ini. Dalam pada itu, kuman yang ada juga akan merebak pada gusi anda. Oleh sebab itu, anda akan alami gejala gusi bengkak akibat keradangan yang disebabkan oleh kuman tersebut. Jika anda dapati lidah anda berubah menjadi warna putih, ia mungkin juga merupakan kuman yang hinggap pada lidah anda akibat sisa makanan yang tidak dibersihkan pada lidah. Bagi mereka yang menggunakan gigi palsu juga perlu menjaga kebersihan gigi palsu tersebut kerana ia juga mempunyai sisa makanan yang boleh mereput dan dijangkiti kuman.

Terdapat ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mulut berbau kerana bahan kimia yang ada pada kandungan ubat tersebut.

* Jangkitan Kuman Pada Mulut

Jika anda alami masalah gigi atau gusi bernanah, ia juga berisiko mengakibatkan masalah ini. Maka, jika anda alami gejala sakit gigi, demam, gigi dan gusi bengkak serta mulut berbau ia mungkin disebabkan jangkitan tersebut.

* Jangkitan Kuman pada Hidung dan Tekak

Masalah resdung boleh menjadi punca gejala ini. Hal ini kerana, cecair yang telah dijangkiti kuman daripada bahagian sinus hidung atau mulut mungkin telah mengalir ke tekak sehingga menghasilkan bau yang kurang menyenangkan. Oleh itu, jika anda alami, sakit pada tulang muka, hidung berhingus, tekak berkahak, demam, anda mungkin alami masalah ini. Jangkitan kuman pada tonsil juga turut menghasilkan bau busuk. Jika anda alami kesukaran dan kesakitan sewaktu menelan makanan, demam, sakit tekak dan anda lihat tompok putih pada tonsil anda, anda mungkin alami jangkitan kuman pada tonsil.