* Nur
* December 14, NurDecember 14, 2018 Suka makan Sambal Ayam Penyet? Ha…Memang sedap kan? Dapat pula makan dengan ayam penyet garing. Memang buka selera! Bila dah suka, bolehlah cuba masak sendiri menu ni di rumah. Kalau nikmatinya di restoran, satu hidangan ayam penyet boleh mencecah RM10 ringgit dan keatas. Bayangkan kalau bawa satu keluarga. Memang mahal. Jadi apa kata buat sendiri guna resipi perkongsian saudari Rita Zara ni. Lebih jimat malah boleh makan puas-puas.

RESIPI SAMBAL AYAM PENYET

BAHAN-BAHAN:

* 9 biji cili merah
* 45 biji cili padi
* 3 biji tomato
* 4-6 biji bawang merah saiz sederhana
* 5 ulas bawang putih
* 3 inci belacan

CARA MEMASAK:

1. Bersihkan semua bahan mentah dan potong kecil (kecuali belacan).

2. Panaskan minyak dan goreng bahan potong tadi. Tomato perlu digoreng akhir sekali kerana ia kan lembik dan berair.

3. Tumbuk semua bahan goreng tadi kasar-kasar.

4. Panaskan minyak dan goreng belacan. Kemudian masukkan bahan tumbuk tadi.

5. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masak hingga pecah minyak.

6. Angkat dan sedia untuk dinikmati dengan ayam penyet.

PETUA: Untuk gandakan sambal, guna formula ini. 1 biji tomato + 3 biji cili merah + 15 biji cili padi untuk kombinasi dan tekstur sambal yang sempurna.

RESIPI AYAM PENYET

BAHAN-BAHAN:

* 1/2 ekor ayam – dipotong kecil
* 4 helai daun salam
* Garam secukup rasa
* Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS:

* 3 batang serai saiz besar
* 4 sudu makan serbuk kunyit
* 3 inci halia
* 6 ulas bawang putih

CARA MEMASAK:

1. Satukan ayam, bahan kisar dan daun salam. Masukkan air hingga ayam tenggelam. Rebus selama 40 minit.
2. Angkat dan toskan ayam hingga air kering.
3. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga garing. Angkat dan penyetkan guna lesung.
4. Kisaran serai boleh digoreng jugadan tabur atas ayam sebelum dihidangkan bersama sambal.

Kredit resipi & foto: Rita Zara